Saturday, March 14, 2009

RAJA PERLIS TIADA HASRAT CAMPUR TANGAN

Photo: Majlis Angkat Sumpah Anggota Exco Kerajaan Negeri Perlis, di Istana Arau.

Kangar - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah baginda tidak berhasrat campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri yang baginda sifatkan semakin bertambah baik. Namun sekiranya terdapat perkara yang memerlukan nasihat, baginda akan tetap mengeluarkan teguran dan nasihat itu.
Baginda juga menyatakan tahap penyimpan rahsia kerajaan didapati semakin baik dan tiada rahsia dibocorkan sebelum mesyuarat Exco bermula. Ini kerana suatu ketika dahulu pernah berlaku kes apabila perkara yang patut dibincangkan dalam mesyuarat Exco telah diperkatakan di kedai-kedai kopi, malah lebih keterlaluan apabila ada orang luar yang tahu keputusan mesyuarat Exco, titah Tuanku Syed Sirajuddin.
"Ingatlah jangan bocor rahsia kerajaan kepada orang luar sebelum ia di luluskan," titah baginda. Baginda turut menasihati semua wakil rakyat termasuk Exco kerajaan negeri supaya sentiasa menilai pencapaian perkhidmatan mereka samaada benar-benar berkesan kepada negeri dan rakyat.
Tuanku Syed Sirajuddin besyukur kerana kerajaan negeri tidak lagi menghulurkan 'ikan' kepada rakyat, sebaliknya telah mula memberikan 'pancing' untuk mereka mula berdikari.
"Perkara ini mustahak kerana ekonomi pun rumit. Kalau beri ikan sahaja kepada rakyat, maka rakyat akan hadapi masalah di masa depan", titah baginda.
Bagaimanapun, baginda melahirkan rasa kecewa kerana ada wakil rakyat tidak menghadiri majlis-majlis rasmi kerajaan dan mesyuarat tertentu menyebabkan tanggungjawab mereka menjadi tidak berkesan. Titah baginda pada majlis angkat sumpah anggota Exco Kerajaan Perlis di Istana Arau yang di hadiri oleh kesemua wakil rakyat kecuali anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, dan ADUN kawasan Sanglang. (Sumber: Sinar Harian, 14/3/09).

1 comment:

NORTHERNMOI said...

Salam,

Rakyat Perlis seharusnya melihat dan merenungi Titah Baginda Raja dalam usaha membangunkan satu kumpulan masyarakat yang benar-benar matang dan penuh ketatasusilaan. Janganlah amalan penentangan yang ditunjukkan oleh pembangkang di Perak ditiru oleh rakyat Perlis. Ingatlah, sehebat manapun kuasa dan pengaruh kita, Ketaatan kepada Raja wajib dipatuhi sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan Rukun Negara.

DAULAT TUANKU!!!